Gadis Melayu

Gadis Melayu
Thanks for visiting :)

Wednesday, August 10, 2011

Buat Lelaki Bernama Suami

Saat kita diijabkabulkan, dengan sekali lafaz diriku kini sah menjadi milikmu. Menitis air mataku tatkala doa dibaca. Perasaan bercampur-baur. Gembira terutamanya bila akhirnya kita bersatu. Sedih kerana daku sudah tidak sebebas dulu. Takut dengan tanggungjawab besar yang bakal dipikul kelak. Terketar-ketar tanganku menurunkan tandantangan. Serak basah suaramu saat membaca taklik. Berdebar barangkali. Daku tersenyum sendirian bila dikau menghampiriku. Tanganmu ku cium, dahiku kau kucup. Rasa seram sejuk bila diperlakukan sebegitu di hadapan orang ramai. Merah padam rasanya pipiku. Namun, ikatan ini tidak terhenti setakat ini. Ini lah permulaan baru dalam kamus hidup kita. Kita sudah bersama menjejak langkah ke peringkat yang seterusnya. 

Buat lelaki yang bernama suami, bermula hari ini, daku sebagai isterimu yang sah telah bertukar milik. Dari tangan seorang ayah yang persis pahlawan, diserahkan tanggungjawabnya menjagaku kepadamu. Bermula hari ini, redha Allah terhadapku adalah redhamu untukku. Semoga ikatan ini yang dimulakan dengan baik dan tidak akan berakhir dengan buruk. Suamiku, sedaya upaya akan ku tunaikan tanggungjawabku terhadap kehidupan yang baru ini. Ku mohon agar dirimu lebih bersabar dengan kerenahku, sanggup menatap wajah naturalku tanpa make-up bila bangun dari tidur, bisa menegurku tatkala aku lalai, sanggup merasa masakanku yang tidak seumpama chef restoran, sudi berkongsi program tv kegemaranku. Kerana, bila kita bersama, sofamu adalah sofaku, katilmu adalah katilku, bantalmu adalah bantalku jua. 

Suamiku, daku tidak berani berjanji untuk menjadi isteri yang paling baik di atas muka bumi ini, namun daku sedaya-upaya akan mencuba melakukan yang termampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah; yang mampu menjaga maruah kehormatanku dan harta-hartamu, yang mampu melahirkan zuriat keturunan yang ramai buatmu biar berapapun bilangan yang dikau kehendaki, yang mampu menjaga kebajikanmu dikala dirimu tidak berdaya, yang sanggup berada dekat denganmu bila dirimu tidak mampu untuk berdiri lagi. 

Bila sekali kita bersama, selamanya kita akan bersama. Daku sentiasa doakan supaya daku berdaya untuk memberikan layanan yang sempurna, yang tidak akan mencampur-adukkan emosi di dalam setiap percaturan, yang mampu dijadikan teman berbincang, dan yang bisa menjadikan setiap detik yang berlalu sebagai kenangan yang tak mungkin dapat kita lupakan. 

Pahlawanku, saat kita bersama takkan selalunya manis. Kadang-kala suatu perhubungan bisa membawa luka. Daku harap supaya hatiku sentiasa bersedia dengan segala rintangan dan dugaan yang bakal menjenguk kita. Andai jodoh kita tiba dipenghujungnya dan kita terpaksa berpisah di alam fana ini, daku harapkan jua agar dirimu masih menantiku disana dan menjadi bidadara syurgaku. 

Buat lelaki bernama suami, dengan lafaz Bismillahirrohmanirrahiim, daku ikhlaskan hati ini menjadi milikmu seorang, daku ikhlaskan diri ini untuk berbakti menambat hatimu, daku ikhlaskan jiwa ini untuk menjadi penawar dukamu. Kerana, sekali hatiku mencinta, selamanya dirimu bertakhta. 

Buat lelaki yang bernama suami; Encik _______ bin __ _____, ikhlas dari isterimu; Puan Tuan Azlin bt. Tuan Abdu Aziz.

Akukah Muslimat Itu?

Akukah Muslimat itu?
~Yang sentiasa menjaga akhlaknya.
~Yang berusaha menjaga maruah dirinya.
~Yang menjaga auratnya dihadapan lelaki ajnabi.
~Yang merendahkan suaranya pabila berkata-kata.
~Yang senantiasa mencari redha sang Penciptanya.


Akukah Muslimat itu?
~Yang sentiasa berusaha menjadi yang terbaik.
~Yang tidurnya bertemankan ayat-ayat dan zikrullah.
~Yang tidak mengagungkan pekerjaan yang lalai.
~Yang pandai menjaga rahsia hatinya.
~Yang sentiasa berada didalam wudhu'.


Akukah Muslimat Itu?
~Yang tidak menyatakan sakitnya bila diuji.
~Yang sentiasa bersyukur dengan nikmat Ilahi.
~Yang sentiasa mendahulukan cinta Allah daripada cinta manusia.
~Yang sentiasa berada dalam redha suami dan orang tuanya.
~Yang taat pada perintahNya.


Akukah Muslimat Itu?
~Yang sentiasa bersangka baik sesama manusia.
~Yang sentiasa menjaga kehormatan diri dan harta suaminya.
~Yang sentiasa ingin berbakti kepada orang disekelilingnya.
~Yang berusaha untuk menghindar dari segala kelalaian.
~Yang tidak pernah gentar pada bisikan syaitan.


Akukah Muslimat Itu?
~Yang sentiasa mendoakan orang-orang disekelilingnya.
~Yang sentiasa mencari redha suaminya.
~Yang menjadi penyejuk hati.
~Yang sentiasa tenang menghadapi musibah.
~Yang bibirnya sentiasa basah dengan kalimah-kalimah Allah.


Akukah Muslimat Itu?
~Yang sentiasa mencari ketenangan.
~Yang setia disamping kesusahan pasangan.
~Yang boleh didamping dikala kesempitan.
~Yang mampu berdikari bila keseorangan.
~Yang mampu menjaga zuriat suaminya bila bersendirian.


Akukah Muslimat Itu?
~Yang cuba melengkapi kekurangan pasangan.
~Yang pandai menjaga rahsia rumah-tangga.
~Yang sedaya upaya berusaha ke arah yang terbaik.
~Yang boleh dijadikan tempat mengadu.
~Yang nantinya suatu masa mampu menggoncang dunia.


Akukah Muslimat Itu?----> InshaAllah.


Nukilan; Tuan Azlin bt. Tuan Abdu Aziz.